Saturday, July 31, 2010

Sabarlah Mengerjakan Solat

Saya kurang berpuas hati dengan gelagat pelajar yang sukar untuk mengerjakan solat zuhor berjamaah di surau. Setiap hari perlu diarahkan untuk mengambil wuduk, memenuhi saf dan menyegerakan solat. Walaupun imam sudah mengangkat takbir, kenapa pelajar masih bersembang dan bergurau.

Dalam satu cerita yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Asakair & Ibn al- Qayyim bahawa pada suatu hari seorang lelaki soleh telah ditahan oleh perompak dalam satu perjalanan. Beliau ingin dibunuh oleh perompak tersebut. Kemudian beliau meminta untuk solat 2 rekaat sebelum dibunuh. Selepas solat beliau teringat doa yang diajar oleh Allah dalam surah al-Naml ayat 62 yang bermaksud
"atau siapakah yang memeperkenankan (doa) orang yang sedang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepadaNya". Dibacanya sebanyak 3 kali, maka turunlah Malaikat yang membawa pedang lalu dengan pedang itu dia membunuh perompak tersebut. Begitulah hikmatnya apabila kita sabar menunaikan solat.

Perintah menunaikan solat ini supaya kita melakukannya dengan sabar dan sentiasa tekun bersabar. Kenapa diarahkan bersabar? Kerana Solat itu berkaitan dengan rezeki kita. Rezeki bukan sahaja berbentuk kewangan, bahkan kesihatan yang kita rasai, kebahagian yang kita nikmati, kedudukan yang kita alami dan ilmu yang kita kuasai adalah bertitik tolak dari solat yang kita kerjakan.

Satu hadis yang diriwayatkan oleh Al- Tirmizi "Berfirman Allah Taala, Wahai anak adam! Tumpukan seluruh ibadatmu kepadaKu, nescaya Aku penuhi hatimu dengan kekayaan dan Aku jauhkan kemiskinan darimu. Dan jika seandainya kamu tidak melakukan yang demikian itu, maka nescaya akan Aku penuhi hatimu dengan pelbagai kesibukan duniawi dan Aku membiarkan kemiskinan menghampiri kamu"

Sama- samalah kita renungkan.

(Hasil bacaan Berita Minggu/ Ahad 1 Ogos 2010)

No comments:

Post a Comment